Kerajaan negeri Melaka akan mewartakan 14 penempatan orang asli di negeri itu untuk menempatkan kira-kira 1,600 pendudk
pribumi di Melaka.
Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Mohd Shafie Apdal berkata lapan penempatan itu terletak dalam daerah Alor Gajah dan selebihnya di Jasin.
“Di Melaka tidak banyak masalah daripada segi menempatkan masyarakat orang asli. Kita yakin, yang penting adalah memastikan kita dapat memajukan kehidupan mereka,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Tanah Komuniti orang asli Negeri Melaka hari ini.
Mesyuarat itu diadakan untuk membincangkan isu-isu berkaitan pelaksanaan Dasar Pemberimilikan dan Pembangunan Tanah Kepada orang asli seperti yang dibincang dan dipersetujui dalam Mesyuarat Majlis Tanah Negara ke-65 pada 4 Dis 2009.
Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Mohd Sani Mistam dan Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Wira Omar Kaseh.
Mohd Shafie meminta masyarakat orang asli supaya tidak terus berada di takuk lama dengan melakukan perubahan khususnya melalui tahap pendidikan lebih tinggi serta menceburi bidang pekerjaan di sektor swasta.
“Jika ada keupayaan, kita menggalakkan mereka berkidmat di institusi swasta lain. Kita minta JAKOA untuk mendampingi contohnya institusi perbankan dan institusi swasta lain supaya dapat menempatkan orang asli,” katanya.
Dalam sektor awam pula, dianggarkan seramai 1,300 masyarakat orang asli sedang berkhidmat termasuk bekerja sebagai peguam dan pensyarah, kata beliau.
- Bernama


