UniMAP ungguli pertandingan ’1 World Culture’

Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) mengungguli pertandingan “1 World Culture” yang berlangsung di Kolej Universiti Nilai di sini minggu lepas, apabila beberapa pelajar antarabangsanya dinobatkan sebagai juara kategori nyanyian solo lelaki dan tarian di majlis itu.

Pelajar UniMAP yang berasal dari Yemen, Shehabaddin Galal Hael yang menyanyikan lagu “Mimpi Laila” muncul sebagai juara kategori solo yang membolehkan beliau membawa hadiah wang tunai RM1,500, selain diperakui memiliki vokal terbaik yang membawa hadiah RM1,000, trofi dan sijil.

UniMAP dalam satu kenyataan hari ini berkata pasukan tarian universiti itu yang mempersembahkan tariah Endang dan Yashaain turut muncul sebagai juara dengan membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000, trofi dan sijil.

Seramai 36 peserta acara nyanyian dan 10 pasukan tarian daripada 10 buah universiti menyertai pertandingan itu dengan hadiah kemenangan disampaikan Ketua Pengarah Kebudayaan dan Kesenian Negara, Datuk Norliza Rofli.

Pengarah Unit Kebudayaan UniMAP, Husna Afifi Mohd.Yusoff berkata, kejayaan itu menunjukkan UniMAP semakin mantap dalam kegiatan kesenian kerana tahun lepas ia hanya muncul juara dalam kategori nyanyian.

“Tahun ini kita memenangi kedua-dua kategori iaitu nyanyian dan tarian meskipun gagal bagi kategori nyanyian solo wanita,” katanya sambil menambah kejayaan itu adalah hasil kerjasama Pusat Hal Ehwal Antarabangsa (CIA) UniMAP dan Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UniMAP.

1 World Culture merupakan pertandingan tahunan anjuran Kolej Universiti Nilai dengan kerjasama Kementerian Pengajian Tinggi dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN).

- Bernama



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Leave Reply
Your email address will not be published. Required fields are marked *
Name *
Email *
Website