MPK arah premis makanan tutup akibat abai kebersihan

Image

Sebanyak empat buah restoran dan sebuah gerai makan sekitar Bukit Tinggi diarahkan tutup serta merta dalam satu serbuan oleh pihak agensi penguatkuasaan Majlis Perbandaran Klang (MPK) baru-baru ini.

Penolong Pegawai Kesihatan Dan Persekitaran Kanan MPK Amran Jali berkata, serbuan itu dilakukan setelah anggota Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mendapati pengusaha makanan tidak mementingkan aspek kebersihan membiarkan keadaan sekitar premis kotor, jijik dan tidak terurus.

“Lebih mengejutkan kesemua premis yang diarahkan tutup adalah tempat yang menjadi tumpuan dan sering dikunjungi orang ramai untuk menjamu selera,” katanya merujuk kepada operasi bersama melibatkan Jabatan Kesihatan dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Klang sekitar Bukit Tinggi.

Amran berkata, pihaknya mendapati tahap kebersihan restoran, kedai makan dan gerai masih lagi di tahap kurang memuaskan walaupun pelbagai program dan kempen kesedaran telah dilaksanakan sebelum ini.

Mengulas lanjut, menurutnya, keadaan itu akan menimbulkan risiko khususnya kepada pelanggan yang datang menjamu selera tanpa menyedari premis yang dikunjungi itu tidak bersih.

“Tindakan penutupan itu merupakan dibawah Seksyen 11 (Akta Makanan 1983) pemilik premis diarahkan tutup selama 14 hari,” katanya.

Sehubungan itu, Amran berkata mana-mana premis yang ingin beroperasi semula, pemilik perlu mematuhi syarat notis sebelum merujuk kepada jabatan kesihatan dan PKD untuk tindakan selanjutnya.

Menurutnya, pihaknya akan terus mempergiatkan operasi memantau pengusaha premis dengan lebih kerap supaya mematuhi peraturan ditetapkan.

“Selain daripada itu, kami ingin menasihatkan kepada pengusaha makanan untuk memastikan tahap kebersihan premis mereka sentiasa dalam keadaan terjaga dan selamat untuk para pelanggan,” katanya.